Sabtu, 21 Januari 2012

KONVOI JELAJAH BORNEO 2011 DAY 11 (PALANGKARAYA-KUDANGAN)


Assalamualaikum....

29.11.2011 – hari ini hari kesebelas kawe berjalan bersama peserta lain dalam misi menjelajah tanah Borneo. Bersyukurlah kerana setakat hari ini tiada apa-apa yang tidak diigini berlaku. Cuma beberapa masalah kecil yang masih mampu kami selesaikan. Seawal jam 6 pagi waktu tempatan dan 7 pagi waktu Malaysia kami telah bersedia untuk bergerak selepas selesai makan di sebuah kedai berhampiran hotel tempat kami menginap. Jika dilihat diatas peta perjalanan hari ini boleh dikatakan agak jauh. Kalau diikut rencana asal kami perlu bergerak ke Ketapang, tetapi menyedari kami tak dapat untuk sampai dalam masa sehari kami memutuskan untuk bergerak ke Nanga Bulit sahaja. Perjalanan hari ini akan diambil alih oleh isteri kawe sendiri yang akan menjadi ketua konvoi.









Tepat seperti yang dirancangkan kami mula bergerak meninggalkan hotel dengan dipimpin oleh bikers tempatan yang menjadi pemandu arah kami. Kami akan dibawa mengisi minyak dahulu sebelum meneruskan perjalanan. Sesampai di stesyen minyak, kelihatan beberapa orang wakil bikers dari kelab Ikatan Motor Besar Indonesia (IMBI) menunggu ketibaan kami. Pada mulanya mereka berjanji untuk berjumpa kami di hotel tetapi kami perlu bergerak mengikut jadual, mereka memutuskan untuk menunggu di stesyen minyak tempat kami mengisi petrol jentera kami. Disini seperti biasa acara yang telah menjadi rutin bagi konvoi dilakukan.







Setelah semua selesai kami diarak untuk keluar dari Kota Palangkaraya dan kali ini dipimpin oleh wakil dari IMBI tetapi sebelum itu kami dibawa ke sebuah tempat yang merupakan tempat perletakan batu asas pertama Kota Palangkaraya. Peluang ini kami gunakan dengan mengabadikan gambar sebagai bukti kami pernah menjejakkan kaki di Palangkaraya. Hampir 15 minit disana sebelum kami bergerak meninggalkan Kota Palangkaraya.









Setelah 45 kilometer kami berjalan, kami berhenti kerana dimaklumkan mereka hanya akan menghantar kami hanya setakat ini sahaja. Ini bermakna kami akan bergerak sendiri seperti kebiasaannya. Beberapa gambaran yang mungkin dapat menceritakan pada anda.






















Dengan keadaan jalan yang cantik dan juga lurus, membuatkan kami rasa mengantuk dan kami memutuskan untuk berhenti setiap 2 jam perjalanan bagi menghilangkan mengantuk dan untuk dapatkan kembali tenaga.
Jam sudah menunjukkan 12 tengahari, kami akhirnya sampai di daerah Waringin Timur dimana disinilah kami sekali lagi mengisi minyak bike kami dan mencari kedai makan untuk mengisi perut kami. Kedatangan kami ke daerah Waringin Timur sekali lagi dapat dihidu oleh bikers tempatan yang kemudiannya datang menemui kami di kedai makan. Selesai makan kami bergerak lagi bagi meneruskan misi kami di bumi Borneo ini dengan diiringi oleh bikers tempatan sebelum kami sekali lagi dilepaskan sendirian.



















Perjalanan kami untuk ke destinasi seterusnya masih melalui jalan yang bertar cantik dan sesekali melalui jalan yang berliku. Sejam lebih kami menunggang sebelum kami ditahan di semasa hampir memasuki daerah Waringin Barat dan kami dibawa ke tempat yang tidak kami jangka iaitu ke rumah salah seorang dari mereka. Disini kami dijemput untuk makan kerana sebagai menyambut kedatangan kami mereka telah menyediakan masakan yang memang terbaik bagi kami. Walaupun baru sahaja makan, kami tetap tidak melepaskan peluang untuk menjamah makanan yang disediakan. Bak kata rakan bikers ibarat bikers disuruh upgrade….














Perjalanan kami diteruskan lagi ke Nanga Bulit dengan masa perjalanan sekitar dua jam sahaja lagi. Perjalanan ke Nanga Bulit mula melalui jalan yang berselekoh dan melalui jalan ladang sawit yang luas. Oleh kerana jalan yang berselekoh kami terpaksa memandu dengan berhati-hati agar kami selamat sampai tujuan. Lebih kurang jam 5.30 petang kami sampai di Nanga Bulit.









Sewaktu di Nanga Bulit, kami berbincang dan memutuskan untuk meneruskan lagi perjalanan ke tempat yang bukan dalam rancangan asal kami iaitu ke Kudangan kerana jarak ke Kudangan hanya memakan masa 2 jam perjalanan sahaja lagi. Keputusan itu kami terima sebulat suara dan meneruskan perjalanan selepas kami mengisi petrol yang dijual di tepi jalan di Nanga Bulit.

Jangkaan kami yang jalan ke Kudangan adalah bertar cantik ternyata mengecewakan kami sendiri apabila kami disajikan dengan jalan bertanah kuning sesekali berbatu ditambah dengan jalan yang basah kerana kami disirami hujan semasa dipertengahan jalan. Ini menyebabkan kami bergerak dengan amat perlahan kerana jalan betul-betul licin. Sedikit gambar perjalanan kami pada malam itu.

























Dalam kegelapan ditengah-tengah hutan Kalimantan Tengah kami bergerak dalam kumpulan yang besar. Sesekali kami disajikan dengan jambatan yang hanya disusun kayu balak bulat yang menjadi penghubung. Antara terima atau tidak kami terpaksa meneruskan perjalanan untuk sampai di Kudangan kerana kami tidak sanggup untuk berpatah balik ke Nanga Bulit yang kami sudah pasti keadaan jalannya. Jadi kami memperjudikan nasib dengan harapan jalan ke Kudangan adalah bagus.

Ternyata nasib tidak menyebelahi kami kerana sepanjang perjalanan kami ke Kudangan melalui jalan balak. Dengan keadaan jalan yang licin dan berlumpur kami sampai di Kudangan sekitar jam 10 malam iaitu 2 jam lewat. Tanggapan kawe mengenai Kudangan jauh meleset kerana Kudangan merupakan sebuah tempat yang mirip sebuah perkampungan dan tidak seperti yang kawe fikir. Sebelum kami bergerak mencari rumah penginapan, kami sepakat untuk makan dahulu di warung yang masih dibuka tetapi makanan yang ada hanyalah mee maggi. Kami difahamkan, Kudangan adalah merupakan tempat bermalam bagi pemandu lori yang akan ke Pontianak di Kalimantan Barat (KALBAR) dan hanya mempunyai 2 buah rumah penginapan yang dalam purata 20 bilik.

Sekali lagi kami perjudikan nasib kami dengan harapan masih ada bilik yang kosong untuk kami menginap. Ternyata nasib menyebelahi kami apabila kami mendapat 4 bilik untuk menginap dengan bayaran RP41000 untuk satu bilik. Kami bersyukur kerana malam ini kami masih lagi mampu untuk tidur diatas tilam didalam bilik walaupun terpaksa mandi berkongsi satu bilik air. Bagi kami keselesaan dan kemewahan bukan lagi yang kami cari kerana cukuplah sekadar tempat untuk kami melelapkan mata.
Sebelum kami semua masuk tidur kerana bekalan elektrik akan dipadam jam 12 malam, kami sempat berbincang mengenai perjalanan esok. Kami diinfokan bahawa jalan ke Pontianak adalah merupakan paling teruk diseluruh Kalimantan. Berita ini sebenarnya menimbulkan rasa takut dikalangan peserta tapi kami sepakat memutuskan untuk teruskan dahulu perjalanan setakat yang kami mampu…….

5 ulasan:

Suro Pulsarian Samarinda berkata...

tak sabar tunggu episod selanjutnya bro... :)

ruly sibat masiga berkata...

bertambah menarik dan tertarik..hehe

KANG LATEP berkata...

teruja kami nak kesana juga,kalau dapat motor sewa , kapchai pun ok....ada kontek no kenalan orang di borneo tak tuan..?

KAKI MOTOR berkata...

Kang Latep : Borneo memang senuah tempat yang mencabar untuk diteroka. Kalu rasa nak datang borneo hello-hello je boss. Kalau nak sewa boleh diatur...

Ruly Sibat Masiga berkata...

di antara ratusan ribu bikers di malaysia nih kita pertama dan yang berjaya melepasi cabaran yg melanda..

road captain / pilot pada hari nih adalah yg paling mencabar utk mebuat keputusan..

tahniah sis dayang.. hehe