Jumaat, 20 Januari 2012

KONVOI JELAJAH BORNEO 2011 DAY 9 (BALIKPAPAN-BANJARMASIN)


Assalamualaikum....

27.11.2011 – Hari ini merupakan hari kelima kami di bumi Indonesia. Kami masih lagi dalam bahagian Kalimantan Timur (KALTIM). Perjalanan kami di bumi Indonesia benar-benar telah mencabar kami dari segi mental dan fizikal. Kami bersyukur kerana kami masih mempunyai semangat dan kekuatan untuk meneruskan perjalanan kami untuk ke Banjarmasin dalam bahagian Kalimantan Tengah (KALTENG). Walaupun begitu semasa taklimat sebelum kami berangkat untuk bergerak ke Banjarmasin kami dikejutkan dengan berita pengunduran Abe Mat yang tidak dapat meneruskan perjalanan bersama kami untuk ke Banjarmasin kerana atas sebab-sebab keselamatan. Untuk pengetahuan semua, pada malam semasa kami menuju ke Samarinda, Abe Mat hampir-hampir mengalami kemalangan yang mungkin boleh membawa maut. Atas alasan itu Abe Mat menarik diri kerana risau akan membahayakan konvoi. Kami menghormati keputusan yang Abe Mat putuskan dan bike Abe Mat akan dibawa ke Pontianak oleh seorang bikers tempatan yang kami kenali sebagai John.


Semasa taklimat pagi. Abe Mat menyatakan terpaksa menarik diri

Untuk perjalanan hari ini, Abe Mat yang sepatutnya akan memimpin konvoi. Tetapi oleh kerana Abe Mat menarik diri, Bro Ruly selaku Ketua Konvoi memutuskan tugas tersebut akan diambil alih oleh John dengan dibantu oleh beliau sendiri. Kami mula bergerak meninggalkan tempat penginapan kami agak lewat sedikit sekitar jam 6.30 pagi tidak seperti yang kami jadualkan dan kami mengisi minyak dahulu pada pagi itu kerana semua bike kami kekurangan bahan bakar. Selepas kami mengisi minyak untuk bike kami, kami akan bergerak ke jeti bagi menaiki feri untuk ke Penajam. Perjalanan kami menaiki feri akan mengambil masa lebih kurang satu jam. Pergerakan kami diiringi oleh bikers tempatan yang menjadi pemandu arah kami pada ketika itu.

Bersedia untuk bergerak


Bergerak menuju ke jeti feri

Perjalanan kami menuju ke jeti feri mengambil masa lebih kurang 1 jam untuk sampai. Disini kami tidak membuang masa yang lama kerana kami perlu mengejar masa untuk ke Banjarmasin. Sekitar 10 minit selepas kami sampai, pekerja feri mula memberi isyarat bahawa feri akan belayar. Dengan tambang RP18600 untuk bike dan tambahan RP2800 untuk pembonceng semua peserta sudah bersedia diatas feri dan destinasinya adalah Penajam. Sementara diatas feri, kelihatan ada diantara kami yang mengambil kesempatan untuk melelapkan mata sekejap bagi mengantikan masa tidur kami yang banyak kehilangan terutama semasa di bumi Indonesia ini.

Pelabuhan Penyeberangan Kariangau, Balikpapan

Sampai di jeti feri

Tiket feri untuk bike

Bergambar bersama bikers yang menghantar kami ke jeti

Kami bergerak memasuki feri

Bike disusun atas feri

Feri bergerak meninggalkan jeti

Dimana-mana pasti ada saja peminat motor Bro Ali

Masa ni baru naik atas

Borak-borak dulu. Cuba teka mana Bro Moore..zzzzzzzz

Penajam dari atas feri



Masa ni feri dah nak sampai

Kawe n Aki n helmet kawe

Sejam setelah bike kami membelah lautan diatas feri, dari jauh kelihatan jeti feri Penajam yang menjadi penyambung untuk kami meneruskan misi utama kami menawan pulau ketiga terbesar di dunia ini. Setelah feri mula merapat dijeti, kami bersama bike kami mula bergerak keluar dari feri dan kedatangan kami disambut oleh bikers Penajam yang akan menjadi penunjuk arah kami. Kami sebenarnya hairan bagaimana kedatangan kami dapat dihidu di bumi Indonesia ini kerana setiap tempat yang kami lalui pasti ada yang menyambut. Mungkin kecanggihan teknologi sekarang yang menjadi penyebar berita. Apa pun sambutan yang diberikan tidak sedikit pun mengganggu kami bahkan kami mengalu-alukan bantuan yang diberikan.

Kampung nelayan sebelah jeti Penajam

Penajam....

Disambut oleh bikers yang telah menanti kami

Dari jeti kami dibawa oleh bikers tempatan untuk singgah disatu tempat yang boleh dikatakan menjadi rumah kelab untuk bikers. Kalau tak silap kawe kelab tersebut dikenali sebagai PINTER atau Penajam Indipendent Tiger Club. Dari pengamatan kawe, di Indonesia ini kaya dengan kelab-kelab motor yang disertai rata-rata oleh golongan remaja. Bayangkan semasa kami tiba di Samarinda kami telah disambut oleh 21 wakil kelab motor seluruh Samarinda. Sampai tak ingatlah nama kelab-kelab yang datang. Itu baru di Samarinda belum tempat-tempat lain.





Bergambar bersama wakil kelab PINTER

Selesai kami bergambar untuk disimpan sebagai kenangan, kami seterusnya bergerak untuk ke Banjarmasin. Perjalanan kami keluar dari Penajam diiring oleh ahli kelab PINTER. Pergerakan kami keluar dari penajam melalui jalan yang cantik dan lurus dengan keadaan trafik yang tidaklah terlalu sibuk. Disebabkan keadaan cuaca yang panas mata kawe mula terasa berat. Kawe ingat kawe je yang rasa begitu, rupa-rupanya semua peserta dah kena silap mata. Ini menyebabkan kami mengambil keputusan untuk berhenti untuk pekena segelas dua kopi.



Berhenti pekena kopi bagi hilangkan mengantuk


Kuda Kepang...masa ni Aki Anis dan Bro Ruly je yang berhenti

Apabila mata kembali segar, kami meneruskan semula perjalanan kami dan kami sekali lagi dibawa untuk singgah di sebuah rumah yang merupakan Presiden Thunder Club kalau tak salah kawe. Disini kami menerima info yang amat berguna apabila beliau menyerahkan kertas yang terdapat nama-nama kampong @ tempat yang perlu kami lalui untuk sampai ke Pontianak yang bermula di Palangkaraya. Beliau juga memaklumkan pada kami bahawa jalan untuk ke Pontianak boleh dilalui dengan bike kami kerana beliau sendiri baru seminggu melalui jalan tersebut ke Pontianak. Info ini telah memberi kelegaan pada kami kerana arah jalan yang perlu kami lalui dan kondisi jalan telah kami tahu. Jadi peluang untuk kami terpesong arah adalah tipis.


Tiba di rumah Presiden Thunder Club

Bergambar beramai-ramai

Presiden Thunder Club berkepala licin diikuti John

Dengan maklumat yang kami ada, kami meneruskan perjalananpada jam 12.30 tengahari dengan perasaan yang amat lega dan waktu ini kami bergerak sendiri tanpa lagi diiringi oleh bikers tempatan. Perjalanan kami kali ini mula melalui sedikit jalan yang berbatu seterusnya melalui jalan yang berbukit diselang-selikan dengan lubang-lubang. Perjalanan kami sendirian tidak lama apabila kami terserempak dengan bikers yang sememangnya menunggu kedatangan kami. Kali ini sekali lagi kami diiringi untuk ke destinasi yang seterusnya.

Bikers yang mengiringi kami (yang kecil tu tidak termasuk ye...)

Keadaan jalan yang bagus...halus...mulus....


Sempat lagi isteri kawe ni bergambar masa kami berhenti

Kami kemudian mula memasuki bahagian Kalimantan Tengah atau KALTENG pada jam 2.30 petang. Disini kami berhenti seketika bagi mengabadikan kenangan selain untuk merehatkan badan yang mula terasa kepenatan. Mungkin disebabkan hari yang panas ditambah dengan keadaan jalan yang berliku menyebabkan kami mudah kepenatan.

Perbatasan @ sempadan KALTIM-KALTENG

Bikers yang menunggu di perbatasan KALTIM-KALTENG


Durian paling sedap kami makan sepanjang konvoi. Bro Ali belanja. Tima kasih boss...

Bergambar bersama di perbatasan KALTIM-KALTENG

Setengah jam kami disini, sebelum kami meneruskan lagi perjalanan kami untuk ke Banjarmasin. Perjalanan kami yang diiringi oleh bikers tempatan semakin bertambah kerana ada yang menunggu kami di perbatasan KALTIM-KALTENG. Kami seterusnya dibawa ke sebuah bandar kalau tak silap kawe Tanjung dan sampai lebih kurang jam 4.30 petang. Disini kami juga disambut oleh bikers yang sebenarnya telah lam menunggu dan jumlahnya mencecah hampir 30 buah bike. Sewaktu disini kami menunaikan solat dan makan tengahari walaupun hari sudah memasuki senja.

Bikers yang bersama kami

Masa ni berhenti isi minyak

Langgar @ surau tempat kami menunaikan solat

Inilah makanan kami pada hari itu

Setelah perut diisi, kami meneruskan lagi perjalanan dan kami dihantar oleh bikers tempatan untuk keluar dari daerah Tanjung ini. Selepas itu sekali lagi konvoi dilepaskan sendiri untuk ke Banjarmasin yang akan mengambil masa lebih kurang 4 ke 5 jam. Kami bersyukur kerana perjalanan pada hari ini melalui jalan yang cantik walaupun ada beberapa tempat yang rosak. Tapi bagi kami itu tidak memberi kesan dari segi mental dan fizikal.

Perjalanan kami dari Tanjung ke Banjarmasin adalah perlahan kerana hari yang mulai gelap selain jalan yang kami lalui terdapat kampung dikiri kanan jalan. Bukan apa, takut-takut ada yang melintas ke apa ke. Dua jam sudah kami menunggang, kami akhirnya sekali lagi berhenti disebuah kampung untuk merehatkan badan. Waktu ini badan kawe mula terasa penatnya. Disini ada beberapa peserta yang menunaikan solat di masjid berhampiran tempat kami berhenti. Sedang asyik berehat, tanpa disedari kami dikerumuni oleh penduduk tempatan yang datang melihat bike kami. Apabila diberitahu kami dari Malaysia dan Brunei mereka merasa kagum kerana kami sanggup menunggang sejauh ini. Ketika ini jugalah datang sebuah bike yang menyatakan ditugaskan untuk membawa kami ke Banjarmasin.


Bersama penduduk kampung yang datang melihat kami
  
Misi konvoi kini diteruskan lagi...dalam kepenatan dan mengantuk kami bergerak dalam kelompok yang besar agar kami tidak berpecah antara satu sama lain. Kami akhirnya tiba di Kota Martapura dan kami difahamkan Martapura adalah merupakan sebuah kota yang kaya dengan segala macam batu permata. Tapi sayang kami tidak dapat singgah kerana Martapura bukanlah tujuan perjalanan kami pada hari itu.


Mencu tanda yang terdapat di Kota Martapura

Di Kota Martapura sekali lagi kami ditahan oleh bikers tempatan yang telah menunggu kami. Kami dibawa ke sebuah tempat untuk berkumpul dan mengambil gambar sebagai kenangan. Semua acara itu kami lakukan dengan seberapa cepat kerana kami benar-benar perlu segera ke Banjarmasin. Tapi kami sempat juga membeli jagung bakar. Maklumlah lapar la katakan.... Selesai urusan bergambar dan urusan lain kami bergerak semula menuju tempat tujuan kami. Setengah jam menunggang kami sampai disebuah stesyen minyak bagi mengisi petrol yang kali terakhir kami isi di Tanjung.




Bergambar seperti biasa

Acara tandatangan banner konvoi

Beli jagung... lapar boss...

Sempat juga baring selepas mengisi petrol

Jam sudah menunjukkan pukul 11.30 malam dan kami sampai di Banjarbaru dimana kami sekali lagi berjumpa dengan bikers tempatan yang menunggu untuk menyambut kami. Dalam kepenatan, kami disambut  oleh bikers Banjarbaru sebelum kami dibawa ke Banjarmasin. Jalan menuju ke Banjarmasin adalah merupakan jalan 2 lorong. Ini memberi sedikit keselesaan kepada kami yang dalam kepenatan kerana masa ni kami bisa memecut dengan sedikit laju sekitar 120km/j.


Sekitar di Banjarbaru





Semasa menuju ke Banjarmasin tiada lagi gambar yang dapat kami ambil kerana kami semua sudah kepenatan. Kami sampai ke Banjarmasin sekitar jam 1.30 pagi sebelum kami masing-masing bergerak balik ke bilik untuk mendapatkan kembali tenaga yang telah hilang. Untuk malam itu kami bermalam di Hotel Mira dengan bayaran RP150000 untuk satu malam. Walaupun penat kawe masih bersyukur kerana malam ni kawe masih dapat tidur diatas tilam yang empuk dan bukannya tidur beralas tanah didalam hutan.... 

4 ulasan:

Puan Rosnanie Mohd Alie berkata...

xsabar nunggu episod seterusnya..hehe

Suro Pulsarian Samarinda berkata...

sedikit pembenenaran bro, jika Tanjung dgn Banjarmasin tuh termasuk Kalimantan Selatan, smntra Palangka Raya tuh baru trmasuk Kalimantan Tengah...

KAKI MOTOR berkata...

Ok boss... Tq atas infonya..

Ruly Sibat Masiga berkata...

Brada Suro Pulsarian Samarinda..

Apa khabar d sana?
Bisa tanya apa nama fb nya Ketua Umum yg d Penajam?

Rumah tepi jalan yg tlg sediakan makanan tengah hari..