Assalamualaikum....
28.11.2011 –
Begitu pantas masa berlalu,, dalam tak sedar rupanya sudah sepuluh hari kawe
berjalan bagi mengejar misi menawan tanah Borneo. Hari ini kalau ditengok dari jadual
kami akan bergerak ke Palangkaraya iaitu salah satu daerah yang terdapat di
Kalimantan Tengah (KALTENG) dan kawe diberi tugas untuk memimpin konvoi pada
hari ini. Jarak perjalanan pada kali ini tidaklah jauh dan kami juga difahamkan
jalan yang akan kami lalui semuanya bertar cantik. Cuma ada beberapa kilometer
jalan yang masih dalam pembaikan.
Disebabkan
kami dihidangkan dengan perjalanan yang panjang pada hari sebelumnya yang
menyebabkan kami kepenatan. Kami mengambil keputusan seperti kebiasaannya untuk
bergerak agak lewat sedikit kerana kami perlu mendapatkan kembali tenaga yang
telah hilang. Pagi ini, jam 10 pagi baru kami berkumpul dihadapan hotel dan
kelihatan rakan-rakan dari Banjarmasin telah ada yang menunggu. Rencana pada
pagi ini adalah untuk melakukan beberapa perkara yang boleh dikatakan penting
bagi kami. Pertama kami perlu makan kerana semalam kami ‘terlupa’ untuk makan
malam kerana kami sampai di Banjarmasin pun dah sekitar jam 1 pagi. Kedua kami
akan melakukan urusan untuk tukaran wang kerana wang yang ada telah sedikit
susut. Dan perkara ketiga yang kami akan lakukan adalah untuk cari kedai bike
untuk repair fork depan bike Aki Anis yang bocor.
Dihadapan hotel tempat kami menginap
Makan dulu sebelum gerak...
Semua itu
kami lakukan sekitar 3 jam sebelum kami secara rasmi bergerak menuju
Palangkaraya. Tetapi semasa menunggu bike Aki diperbaiki, kami sempat dibawa ke
sebuah kedai barangan motorsikal yang paling besar di Banjarmasin yang dikenali
sebagai PISTONS kalau tak silap kawe. Disini kami sempat untuk membeli beberapa
barangan yang mungkin tidak terdapat di Malaysia. Jika ada pun mungkin agak
mahal.
Jam 1
tengahari kami mula bergerak meninggalkan Kota Banjarmasin dengan diiringi oleh
rakan-rakan dari Banjarmasin sendiri. Pergerakan kami dalam kesesakan
lalulintas di Banjarmasin agak perlahan walaupun ada bikers tempatan yang
bertindak sebagai pembuka jalan bagi kami. Seperti biasa kami akan berhenti
untuk mengisi petrol terlebih dahulu sebelum meneruskan perjalanan.
Sekitar perjalanan kami sebelum Jambatan Barito
Dalam
perjalanan kami seterusnya dibawa untuk singgah di sebuah jambatan iaitu Jambatan
Barito. Konsep jambatan ini sebenarnya adalah merupakan jambatan gantung yang
diikat dengan kabel-kabel pada tiang yang besar. Disini kami sempat untuk
bergambar kerana tidak pasti bilakah masa kami berkesempatan untuk datang lagi.
Sewaktu bergambar, kami dapat rasakan jambatan sedikit bergegar dan bergoyang.
Bimbang juga dalam hati takut-takut runtuh. Maklumlah pada musim tu kedengaran
berita jambatan Kutai Kartanegara yang terletak di Kalimantan Timur runtuh dan
konsep jambatannya juga adalah sama iaitu jambatan gantung.
Selesai kami
bergambar kami bergerak lagi dan kali ini rakan-rakan dari Banjarmasin yang
mengiringi kami hanya 3 buah bike sahaja ditambah dengan peserta konvoi. Ketika
ini pergerakan kami sekitar 80 km/j dan melalui beberapa kawasan perkampungan.
Disini kami di ingatkan supaya memandu dengan berhati-hati kerana sepanjang
perkampungan ini masih mengamalkan hukum adat yang kuat. Ini bermakna kami
tidak boleh melanggar apa-apa binatang peliharaan apatah lagi orang. Dan jika
terlanggar mungkin bike kami yang akan menjadi taruhan. Maklumat ini sebenarnya
membuatkan semua antara kami berhati-hati agar tidak terlanggar apa-apa yang
boleh dikategorikan peliharaan.
Dengan
kelajuan yang terkawal kami menelusuri perkampungan dengan penuh hati-hati.
Setelah sejam menunggang dari selepas Jambatan Barito dilihat ke langit awan
mula bertukar gelap. Kawe mengjangka pasti kami akan bermandikan hujan. Tapi
kami bernasib baik kerana sewaktu hujan mencurah kami sebenarnya tiba disuatu
tempat yang strategik untuk berhenti mengelak dari dibasahi hujan. Peluang
inilah kami gunakan untuk mengisi perut kami kerana tempat yang kami berhenti
boleh dikatakan seperti tempat Rawat & Rehat (R&R) yang dikenali
sebagai Rumah Makan Candi Laras.
Perut yang
kosong sudah kami isi dan hujan yang menyirami telah berhenti. Kami seterusnya
meneruskan lagi perjalanan untuk ke Palangkaraya yang memakan perjalanan lebih
kurang dua jam sahaja lagi. Tidak jauh kami berjalan apabila isyarat hujan
lebat akan turun. Masa ni kawe dan beberapa peserta lain berhenti bagi
mengenakan baju hujan. Cuma waktu ni bikers dari Banjarmasin yang mengiringi
kami dan Aki Anis yang tidak ada baju hujan. Oleh kerana hujan yang lebat kami
mengambil keputusan untuk berhenti disebuah rumah penduduk tempatan yang
kelihatan kosong.
Hampir sejam
kami berhenti dan apabila hujan mulai reda kami meneruskan lagi perjalanan
kami. Kali ini kami bergerak dengan perlahan kerana jalan yang basah ditambah
dengan sedikit hujan yang masih menitis. Tetapi semua itu kami tidak hiraukan
kerana ketika ini pemandangan kiri kanan jalan begitu mengasyikkan kerana kami
melalui jambatan yang merentasi kawasan paya bakau sejauh 15 kilometer.
Panorama inlah yang menyebabkan kami lupa akan kesejukan hujan yang menyirami
kami.
Hari
kelihatan mulai senja kerana waktu sudah menunjukkan jam 6.00 petang. Bermakna
sekejap lagi hari akan bertukar gelap. Dengan hari yang hamper gelap kami
menuju ke Palangkaraya. Ketika hampir memasuki Kota Palangkaraya, kami ditahan
oleh puluhan bikers yang memang menanti untuk menyambut kedatangan kami.
Kedatangan kami disambut dengan kami diiring ke sebuah tempat yang merupakan
Rumah Kelab bagi kelab Ikatan Motor Indonesia (IMI) di Kota Palangkaraya.
Disini kami melakukan beberapa perkara lazim yang seperti bergambar sebelum
kami dibawa ke sebuah hotel yang dikenali sebagai Hotel Melati Serasi pada jam
7.00 malam. Kali ini penginapan kami tidaklah semewah seperti kebiasaan kami
tinggal tetapi tetap selesa dan bike juga dapat disimpan dengan selamat dengan bayaran
lebih kurang RP100000.
Pada sebelah
malamnya pula kami dibawa oleh bikers tempatan untuk mencari kedai makan bagi
mengalas sedikit perut. Pada mulanya pilihan kami adalah ikan bakar tetapi
kerana agak susah mencarinya, kami kemudiannya dibawa ke sebuah kedai yang
menyajikan masakan padang. Bagi kami masakan yang dimasak memang membangkitkan
selera dan boleh dikatakan semuanya sedap. Untuk makan kami pada malam itu
telah disponsor oleh orang kuat bikers Palangkaraya.
Selesai
makan kami seterusnya dibawa untuk melawat sekitar Kota Palangkaraya. Sewaktu
dibawa mengelilingi Kota Palangkaraya, barulah kami sedar bahawa Kota
Palangkaraya sebenarnya luas, cuma namanya sahaja yang tidak segah kota-kota
lain di Kalimantan ini.
Pada jam 11 malam kami tiba di hotel tempat kami menginap selepas mengelilingi Kota Palangkaraya. Tapi sayang…kami tidak mendapat gambaran yang sepenuhnya kerana keadaan malam yang gelap. Sewaktu dihotel beberapa kali bekalan Elektrik terputus dan pihak hotel terpaksa menggunakan Genset yang mengeluarkan bunyi yang kuat. Malam itu kami tidur diulit dengan dendangan dari Genset. Untuk perjalanan esok…. Malas kawe nak pikir… Teruk atau tidak teruskan saja……..
Pada jam 11 malam kami tiba di hotel tempat kami menginap selepas mengelilingi Kota Palangkaraya. Tapi sayang…kami tidak mendapat gambaran yang sepenuhnya kerana keadaan malam yang gelap. Sewaktu dihotel beberapa kali bekalan Elektrik terputus dan pihak hotel terpaksa menggunakan Genset yang mengeluarkan bunyi yang kuat. Malam itu kami tidur diulit dengan dendangan dari Genset. Untuk perjalanan esok…. Malas kawe nak pikir… Teruk atau tidak teruskan saja……..
Tiada ulasan:
Catat Ulasan