Selasa, 24 Januari 2012

KONVOI JELAJAH BORNEO 2011 DAY 12 (KUDANGAN-PONTIANAK)

Assalamualaikum...

30.11.2011 - Dalam misi menawan bumi Borneo keseluruhannya, kami meneruskan lagi perjalanan. Kali ini destinasi tujuan adalah Pontianak dalam daerah Kalimantan Barat (KALBAR). Seperti biasa jam 6 pagi (waktu Indonesia) atau jam 7 (waktu Malaysia) kami telah mula bersedia untuk bergerak selepas bersarapan di warung berhampiran dan mengisi petrol. Kali ini sebelum kami bergerak, kami sebenarnya lebih bersedia dari kebiasaan hari-hari lain. Persediaan yang kami buat lebih dari persediaan mental dan fizikal kerana kami tidak mahu kalah sebelum berjuang. Ini kerana kami difahamkan perjalanan kami menuju ke Pontianak merupakan yang paling mencabar antara semua daerah Kalimantan dan perjalanan yang dijangka adalah sekitar 200 kilometer. Soal kondisi jalan seperti yang kawe infokan dalam entri lepas hanya boleh diterjemahkan dalam satu perkataan iaitu TERUK.






Sebelum bergerak kami sempat diberi peringatan supaya berhati-hati semasa menunggang kerana boleh dikatakan sepanjang kawasan yang akan kami lalui mengamalkan hukum adat yang kuat dan kami tidak boleh melanggar apa-apa binatang peliharaan penduduk tempatan sama seperti yang kawe cerita pada entry semasa perjalanan kami ke Palangkaraya.Selepas bacaan doa oleh Aki Anis, kami mula bergerak meninggalkan Kudangan dengan perjalanan kembali dipimpin oleh Bro Ruly mengikut pusingan. Diawal perjalanan kami melalui jalan bertar cantik selepas melalui sedikit lencongan memasuki kampung kerana jambatan masih dalam pembinaan. Kali ini kami tidak lagi tertipu dengan keadaan jalan yang bagus yang kami lalui dan kami tetap bersedia mental kerana kami tidak mahu terlalu mengharap keadaan jalan akan bagus. Sebab kami tahu pasti diakhirnya kami akan kecewa.













Hampir sejam kami diatas bike. Akhirnya kami sampai disatu gerbang yang tertulis " SELAMAT JALAN DARI BUMI TAMBUN BUNGAI". Maka secara rasminya berakhirlah perjalanan kami melalui jalan bertar yang cantik yang disajikan kepada kami sejak dari kami mula bergerak meninggalkan Kudangan. Disini kami sempat mengabadikan gambar sebagai kenang-kenangan bagi kami.




Sedetik kami bergerak melintasi gerbang 'BUMI TAMBUN BUNGAI" bermulalah perjalanan kami yang akan melalui jalan tanah kuning yang berlumpur dengan sedikit berbatu. Sepanjang perjalanan kami melalui jalan berlumpur yang licin bermacam dugaan yang kami terpaksa hadapi. Semasa melalui jalan inilah bermula kembali drama bagi semua peserta apabila beberapa peserta jatuh termasuk kawe sendiri. Ini memberi peringatan supaya kami lebih berhati-hati. Kami bukan setakat berhati-hati kerana keadaan jalan yang licin sahaja, tetapi kami juga terpaksa berhati-hati dengan beberapa jenis binatang peliharaan yang meluru melintas jalan seperti ayam, anjing dan b**i. Jumlahnya boleh dikatakan banyak tetapi tidaklah sepanjang perjalanan kami. Cuma beberapa kawasan perkampungan yang kami lalui. Sedikit gambaran perjalanan kami.





































Tiga jam kami bergerak menelusuri jalan yang berlumpur, kami seterusnya sampai di satu persimpangan jalan yang menandakan arah perjalanan kami menuju Pontianak. Disini keadaan jalan mula berbatu tidak seperti jalan sebelumnya yang hanya bertanah kuning yang licin. Kami kemudiannya berhenti kalau tak silap kawe di Nanga Tayap untuk merehatkan badan selain membetulkan sedikit apa yang rosak akibat terjatuh. Kami juga sempat mengisi perut dengan sedikit buah durian yang dijual penduduk tempatan.









Setelah tenaga kembali pulih. Kami meneruskan lagi misi untuk menuju ke Pontianak, Indonesia. Kali ini jalan yang kami lalui berbatu dan agak selesa bagi kami kerana tayar tidak terasa licin kesan dari tanah yang berlumpur. Setelah tiga jam melalui kawasan tanah yang berbatu halus dan kasar kami mula dapat merasai kelembutan jalan tar yang pertama sejak meninggalkan "BUMI TAMBUN BUNGAI". Jam sudah menunjukkan pukul 2 lebih (waktu Malaysia) dan kami mengambil keputusan untuk berhenti makan tengahari dan solat disebuah tempat yang dikenali sebagai Balai Berkuak.


















Hampir sejam kami di Balai Berkuak kami meneruskan lagi perjalanan kami untuk ke Tayan untuk kami menaiki feri menyeberangi Sungai Kapuas yang merupakan sungai terbesar di Borneo selepas kami mengisi minyak bike kami. Sebelum bergerak kawe sempat bertanya pada Bro Ruly masih adakah jalan yang rosak dan kawe diberitahu tiada lagi jalan yang rosak kerana Bro Ruly dimaklumkan jalan ke Tayan beraspal mulus. Masa ni kawe berfikir jalan yang kami lalui tadi tidaklah 'TERUK' seperti yang diceritakan. Rasanya parah lagi jalan semasa dari Wahau ke Samarinda. Apapun kawe bersyukur kerana 'azab' kami sudah habis. Kami seterusnya bergerak menuju ke Tayan melalui jalan yang amat-amat selesa bagi kami.





Setelah kami mengharungi perjalanan yang selesa selama dua setengah jam, kami akhirnya sampai di tempat menaiki feri iaitu di Tayan. Kami menunggu hampir sejam sebelum dapat menaiki feri dan bergerak menyeberangi Sungai Kapuas yang akan mengambil masa selama sejam dengan bayaran RP12000 untuk sebuah bike dan termasuk orangnya sekali. Semasa disini ada satu perkara yang merisaukan kami kerana kami terpaksa melalui titi yang lebih kurang 4 kaki dan sepanjang 5 meter untuk menaiki feri. Jika tersalah kami mungkin akan jatuh ke dalam sungai yang memang dalam dan deras.













Setelah kami selamat menyeberangi Sungai Kapeas kami bergerak lagi menuju ke Pontianak yang akan mengambil masa lebih kurang 3 jam sahaja lagi. Perjalanan kami ke Pontianak melalui jalan yang agak sibuk. Sebelum kami sampai di bandar Pontianak kami sempat berhenti untuk mengisi minyak bike kami sebelum berjumpa group bikers tempatan yang menunggu ketibaan kami ditepi jalan, Dan sekitar jam 9 malam kami sampai di hotel tempat kami akan menginap iaitu Hotel Kartika. Kalau tak silap kawe harga bagi penginapan kami adalah RP240000 untuk satu malam. Kami memutuskan untuk tinggal 2 malam di Pontianak kerana untuk mendapatkan kembali tenaga yang telah banyak hilang.



Kerana kepenatan malam itu, kawe dan isteri tidak keluar makan dan hanya makan makanan yang kami oder dari hotel sahaja. Difahamkan esok pagi jam 10 kami akan pergi ke Pejabat Konsulat Malaysia di Pontianak untuk berjumpa Konsul Muda Malaysia di Pontianak bagi melaporkan kami selamat sampai di Pontianak. Malam itu kawe tak tahu jam berapa kawe tidur kerana kepenatan. Apa pun kawe betul-betul bersyukur kerana semua perjalanan kami selamat. Tetapi masih ada beberapa hari untuk kawe dan peserta lain menghabiskan KONVOI JELAJAH BORNEO 2011..........

5 ulasan:

ujang berkata...

Alhamdulilah selamat sentiasa dlm perjlnn,semoga selamat dlm perjlnn & selamat pulang.tahniah.very interesting & adventurous.

KAKI MOTOR berkata...

Thanks boss... Memang banyak dugaan boss sepanjang menjelajah bumi Borneo.

Ruly Sibat Masiga berkata...

Sapa2 yg first time ride guna jln tanah perlu lebih banyak berhati2..

Jatuh moto bukan satu kegagalan dan perlu malu tapi satu sejarah dan adalah proses untuk berjaya menghabis kan kembara anda..

Ride On
Ride Safe
Ride Hard

KAKI MOTOR berkata...

Hahahaha... Betul tu boss... Jatuh bangun adalah satu lumrah dalam 'perjalanan'

griffin berkata...

Great ride bro